fb fb fb fb fb

BUDI95: Rakyat Kelantan ucap terima kasih kepada PM

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 2 Oktober - Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus mendapat sambutan baik daripada rakyat di Kelantan, khususnya dalam kalangan golongan B40.

Rata-rata penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelaksanaan inisiatif itu yang disifatkan bersasar serta membantu mengurangkan beban kos sara hidup.

Zulkifli Muhammad, menyambut baik penyelarasan inisiatif BUDI95 yang disifatkannya sebagai langkah tepat dan menyeluruh.

"Rakyat menyambut baik tentang penyelarasan BUDI95 ini, sekali gus menolak naratif bahawasanya BUDI95 ini menyusahkan rakyat... sebabnya kalau kita rakyat Malaysia kita ada Kad Pengenalan, jadi untuk mengesahkan kita ini penerima, maka itulah yg mengesahkan kita sebagai warganegara.

"Ini menidakkan peluang warga asing untuk menerima subsidi yang sepatutnya diterima secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia", katanya.

Wan Husin Wan Yusoff pula memuji pendekatan kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif BUDI95 yang lebih teratur dan kaedah yang digunakan berjaya memastikan bantuan disalurkan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Ariful A’la Ahmad Tarmidzi merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perancangan pelaksanaan program subsidi bersasar yang disifatkannya sebagai langkah bernas dan prihatin terhadap rakyat.
 
Selain itu, orang ramai juga berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan serta ditambah baik dari semasa ke semasa, agar manfaatnya berterusan kepada rakyat.

ROSLINA BINTI DIN