KUALA LUMPUR, 11 Januari- Bagi anda yang masih mencari-cari lokasi percutian menarik dan santai, memenuhi keperluan riadah termasuk untuk keluarga, boleh menonton program terbaharu terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu travelog “Escape From KL”.
Dihoskan Neeta Manis, program itu disiarkan setiap hari Ahad pada pukul 10.00 malam di TV Okey dan RTMKlik, mula bersiaran pada 7 Januari lalu.
Menurut Bahagian Perhubungan Awam RTM, travelog 13 episod berbahasa Inggeris itu menyasarkan penonton yang mencari idea percutian singkat.
"Setiap episod memaparkan antara lain cadangan retret Malaysia, pulau persendirian, bercuti ke pantai dan banyak lagi.
"Hos akan berkongsi dengan penonton perjalanan indahnya dalam menerokai lokasi menarik dengan pelbagai aktiviti hebat yang dirancang dan makanan lazat untuk dicuba," menurut kenyataan itu.
Antara lokasi yang menjadi pilihan termasuklah Kuala Kubu Bharu (KKB) di Selangor serta Genting Highlands dan Pulau Tioman di Pahang.
Penonton juga boleh mengikuti kembara Neeta ke Pulau Langkawi, Perlis, Taman Negara, Pulau Duyong dan Pulau Lang Tengah di Terengganu.