fb fb fb fb fb

SPM lancar, tiada calon terjejas banjir tercicir

Foto hiasan

NIBONG TEBAL, 11 Januari- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang bermula Isnin lalu berjalan lancar meskipun terdapat negeri terjejas banjir.

Tiada calon yang terkandas daripada menduduki peperiksaan terutamanya di Pahang dan Johor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelajar terjejas banjir dari negeri terlibat telah ditempatkan di asrama lebih awal bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan.

Setakat ini, tiada sekolah atau pusat peperiksaan ditutup berikutan bencana banjir.

"Calon-calon SPM kita tidak terjejas. Mereka masih boleh meneruskan peperiksaan dengan dibantu oleh semua agensi. Jadi kalau ada yang terputus jalan, yang tidak boleh sampai ke pusat peperiksaan, agensi-agensi kerajaan telah membantu calon-calon ini untuk sampai ke pusat peperiksaan.

"Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar", kata Fadhlina kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di sini.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengadakan lawatan ke SMK Raja Tun Uda di Bayan Lepas dan SMK Permatang Pasir di Permatang Pauh.

Peperiksaan SPM 2023 yang bermula 8 Januari hingga 7 Mac melibatkan 395,870 calon.

ROSLINA BINTI DIN