fb fb fb fb fb

Program Tarif Elektrik Hijau, diteruskan pada 2025 - PETRA

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Program Tarif Elektrik Hijau (GET) akan diteruskan pada 2025.

Kuota sekurang-kurangnya 6,600 GigaWatt jam ditawarkan pada kadar premium sama, 10 sen bagi setiap kilowatt jam untuk pengguna voltan rendah dan 20 sen kilowatt jam bagi pengguna voltan sederhana serta tinggi.

Menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan mulai tahun depan.

"Ia termasuk pembukaan langganan jangka panjang yang membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga 2027.

Penambahbaikan ini dijangka memberikan kepastian dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau, khususnya bagi syarikat korporat dan industri," kata kenyataan itu.

Program GET, yang mula diperkenalkan pada 2021, merupakan antara inisiatif strategik kerajaan untuk menawarkan bekalan elektrik yang dijana sepenuhnya daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ingin mengurangkan jejak karbon mereka.

Sejak dilancarkan, Program GET telah membekalkan secara kumulatif sebanyak 9,400 GigaWatt jam tenaga elektrik hijau kepada lebih 3,000 pengguna.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM