KUALA LUMPUR, 11 September – Malaysia kini berdepan cabaran serius masalah pemakanan kanak-kanak, dengan peningkatan kes bantut, obesiti dan terlebih berat badan dikalangan generasi muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, Tinjauan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2024 mendapati 8.1 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 19 tahun mengalami masalah pertumbuhan bantut, 14.4 peratus terlebih berat dan 13.6 peratus obesiti.
“Data-data yang menunjukkan ya bahawa di sekolah-sekolah di ppr kan di sekitar kuala lumpur ni mempunyai masalah anak-anak yang ada multfisi dan malnutrisi ini adalah beberapa ada beberapa kategori sama ada mereka itu yang yang kekurangan zat ya aa dalam kategori sama ada obesiti ataupun tak terlalu kurus sehingga memberi kesan kepada kesihatan mereka ini” katanya.
Menurut beliau, masalah itu memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan kanak-kanak termasuk sistem imuniti yang lemah, kurang tumpuan dalam pelajaran, selain berisiko menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi apabila dewasa.
Sehubungan itu, Dr Zaliha berkata Program Sarapan Pagi MADANI yang dilancarkan hari ini merupakan langkah intervensi awal bagi memastikan murid memulakan hari dengan hidangan berkhasiat.
Program itu akan dimulakan di SK Seri Permaisuri sebagai simbolik, sebelum diperluaskan ke 13 sekolah rendah di Parlimen Bandar Tun Razak melibatkan hampir 10 ribu murid selepas cuti penggal persekolahan.
“Melihat kepada impak program ini, saya minta Yayasan Gerbang Parlimen Bandar Tun Razak memperluaskannya ke seluruh Kuala Lumpur. Untuk itu, saya meluluskan peruntukan RM30,000 bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Beliau yakin, pelaburan ini akan memberi pulangan jangka panjang, termasuk mengurangkan kos kesihatan negara serta meningkatkan produktiviti generasi masa depan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru sektor swasta dan NGO tampil menyokong inisiatif berkenaan agar usaha membina generasi sihat, cerdas dan berdaya saing dapat dicapai melalui "Pendekatan seluruh negara dan seluruh masyarakat" (whole of nation dan whole of society).