fb fb fb fb fb

Program SARA ditambah baik, jumlah bantuan dinaikkan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kembali, bermula hari ini secara berperingkat.

Menerusi Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program SARA telah ditambah baik, dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas.

"Peruntukan yang lebih besar ini membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000, ketimbang 210,000 pada tahun lalu.

"Jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200, seganda jumlah dari tahun lepas," kata Anwar.

Jelas Anwar, penambahbaikan program tersebut merupakan satu langkah awal untuk menangani ketidakseimbangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti di dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Kerajaan juga akan mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan-bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM