SIEM REAP KEMBOJA, 22 JULAI - Program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), " BIAR BETUL" yang memfokuskan kepada usaha membanteras penyebaran maklumat palsu dan tidak tepat telah mendapat perhatian para peserta Sidang Kemuncak Media Asia ke-20 (Asia Media Summit 2025) yang berlangsung di Kemboja.
Disiarkan secara harian, BIAR BETUL memberi penekanan kepada semakan fakta, pencerahan isu semasa serta pendidikan media dalam usaha meningkatkan literasi maklumat rakyat Malaysia.
Program itu juga berperanan menjawab pelbagai isu tular yang sering mengelirukan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Prasar Bharati India, Gaurav Dwivedi menyambut baik pendekatan RTM yang menerbitkan program tersebut setiap hari.
“Idea anda untuk RTM mempunyai program harian yang berulang sangat bagus. Saya akan pulang dan meneliti sama ada kami boleh melakukan sesuatu yang serupa”, katanya ketika ditemui selepas sesi pleno.
Sementara itu, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Radio Television Brunei, Lim Kim Dien, turut memuji kandungan pembentangan RTM yang dianggap sangat relevan pada masa kini.
“Saya rasa ia satu pembentangan yang sangat baik, terutamanya sekarang ini apabila terdapat banyak berita palsu di media sosial. Jadi, adalah satu idea yang baik untuk melakukan semakan harian, satu perkhidmatan awam sebenar yang menyediakan maklumat sahih untuk kanak-kanak dan orang ramai menyemak fakta”, katanya.
Dalam pada itu, komitmen Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam memperkasa media arus perdana melalui agenda literasi maklumat turut disuarakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman yang hadir mewakili beliau.
Datuk Suhaimi menekankan bahawa kredibiliti merupakan aset utama sesebuah stesen penyiaran awam.
"Apa yang berlaku hari ini, orang ramai akan mencari informasi di pelbagai platform. Tapi akhirnya, kalau kita perhatikan, mereka akan kembali ke RTM dan BERNAMA kerana mereka mencari sesuatu yang kredibel .
“Sangat penting untuk stesen kerajaan mengekalkan kredibiliti. Kalau kita hilang kredibiliti, kita tak ada harga. Sebab itu dalam pembentangan saya tadi, saya tekankan bukan sahaja soal kredibiliti, tetapi juga keperluan membina jambatan untuk menghubungkan kita dengan penonton agar mereka memberi maklum balas kepada kita”, jelas beliau.
Sidang Kemuncak Media Asia (AMS) merupakan acara tahunan anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia-Pasifik (AIBD) yang menghimpunkan lebih 500 penyiar, pembuat dasar, profesional media, pengawal selia dan tokoh industri dari rantau Asia-Pasifik dan antarabangsa.
Setiap tahun, tema persidangan ditentukan melalui kerjasama dan perbincangan bersama ahli AIBD, rakan strategik serta pakar media global, menjadikan AMS sebagai platform penting dalam membentuk arah tuju industri penyiaran serantau.