fb fb fb fb fb

Program Pengangkutan Air Percuma Pelajar Sekolah bakal diperluas ke seluruh Sarawak

Datuk Henry Harry Jinep ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Perakuan Kekompetenan / FOTO RTM

KUCHING, 28 September- Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak Datuk Henry Harry Jinep hari ini memaklumkan, Program Pengangkutan Air Percuma Pelajar Sekolah akan diperluas ke seluruh negeri.

Ia, katanya bagi menangani masalah pengangkutan dalam kalangan pelajar yang menggunakan pengangkutan air.

Menerusi program tersebut, sijil dan permit dikeluarkan selepas semua pengendali bot diberi latihan dan taklimat, bagi memastikan mereka yang mengendalikan pengangkutan air mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan ditetapkan.

“Perkara ini amat penting supaya keselamatan itu menjadi keutamaan, jika pengendali bot tidak kompeten, kita tidak tahu sehingga tahap mana tahap pengetahuan mereka mengendalikan bot membawa anak-anak kita.

“Keselamatan itu termasuk kondisi bot itu sendiri serta jaket keselamatan juga penting, " katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Perakuan Kekompetenan, mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin di Kuching.

Terdahulu, seramai 26 operator bot penumpang di sekitar pesisir sungai bandar Kuching menerima Sijil Perakuan Kekompetenan menerusi Program Pengangkutan Air Percuma Pelajar Sekolah.

Program berkenaan merupakan kerjasama Kementerian Pengangkutan Sarawak, Yayasan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Laut Malaysia serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Ia, sebahagian daripada Program Pengangkutan Percuma Pelajar Sekolah yang bermula sejak 2020, melibatkan perkhidmatan Bas Sekolah Percuma kepada pelajar, khususnya B40.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE