PANTAI PUTERI, 18 November- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berjaya mengurangkan aduan berkaitan masalah sampah di kawasan pentadbirannya menerusi Program Operasi Ekosistem Bersih Aspirasi Semua (BEBAS).
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata daripada 30 kali penganjuran program tersebut, sebanyak 20 tan sampah telah berjaya dikutip.
"Alhamdulillah daripada aduan yang kita terima kalau kita tengok setahun lalu mungkin selepas musim COVID-19 yang lepas banyak aduan yang kita terima dari segi kebersihan tetapi akhir-akhir ini daripada sistem aduan kami dan melalui media sosial dan sebagainya aduan tentang kebersihan itu berkurang menandakan kebersihan di kawasan ini agak berkesan," katanya pada Program BEBAS, di sini, hari ini.
Program dengan kerjasama RHB Bank itu turut melibatkan seramai 1,200 sukarelawan dan juga penduduk setempat.
Tambahnya, menerusi program BEBAS juga, MBMB telah menerima anugerah agensi terbaik sempena World Clean Up Day anjuran SW-CORP.