
IPOH, 3 April – Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 membuka tirainya hari ini dengan lokasi pertama di Meru Raya, Ipoh, Perak.
- PMR 2026 Perak menawarkan pelbagai aktiviti kepada kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari.
- Gema Generasi MADANI KPM menyerlahkan bakat pelajar, manakala PLANMalaysia mempersembahkan teknologi bandar pintar dan demonstrasi fizikal.
- Acara termasuk cabutan bertuah, ceramah HDC untuk PMKS, perkhidmatan percuma dan majlis perasmian akan disempurnakan Perdana Menteri.
PMR 2026 Perak menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari program yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya.
Acara hari ini dijadualkan bermula seawal 9 pagi dengan persembahan kesenian dan kebudayaan oleh murid Kementerian Pendidikan (KPM), bertajuk “Gema Generasi MADANI KPM” yang menonjolkan bakat pelajar khususnya Sekolah Seni Malaysia.
Selain itu, turut berlangsung sesi ceramah oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Selari tema “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni”, tajuk “Negeri Perak: Hulu ke Hilior, Ape yang Smart nye??” dipilih bagi sesi ceramah tersebut.
Sesi itu bakal mengetengahkan teknologi bandar pintar secara santai melalui demonstrasi fizikal seperti Smart Pole Mini dan Aplikasi Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) Masa Nyata.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi Sesi Cabutan Bertuah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Yakin MADANI! bermula 2.30 petang.
Pada 4.30 petang pula, Halal Development Corporation (HDC) dijadualkan memberi ceramah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari segi pengetahuan dan bimbingan permohonan pensijilan halal, akses pasaran domestik serta global.
Suasana malam pula diserikan dengan persembahan kerohanian berbentuk selawat dan nasyid yang membawa mesej keinsafan, kasih sayang dan kecintaan kepada Ilahi bermula 7 malam.
PMR 2026 Perak dilaksanakan secara berskala besar dan merupakan siri jelajah yang pertama bagi tahun ini, bermula dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad program dijadualkan berakhir 6 petang.
PMR 2026 Perak turut dimeriahkan dengan aktiviti lain, antaranya Jualan Rahmah melibatkan diskaun sehingga 30 peratus, karnival kerjaya, penukaran topi keledar percuma, festival makanan tempatan, pertukaran minyak enjin motosikal percuma dan gunting rambut percuma.
Majlis perasmian PMR Perak dijadualkan esok dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.