KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan dari 7 hingga 9 Ogos ini akan mengetengahkan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Hasnol Zam Zam berkata, pelbagai pengisian telah dirangka melibatkan pelbagai golongan masyarakat, dari pelajar sekolah hingga ke golongan peladang dan nelayan.
Antaranya, para saintis dari pelbagai bidang akan turun padang ke sekolah-sekolah di sekitar Kelantan bagi memperkenalkan sains dengan pendekatan yang menarik dan interaktif.
"Kita ingin menarik minat anak-anak sekolah supaya mencintai dan menceburi bidang sains dan teknologi. Pendekatan ini juga diharap mampu mencetuskan semangat dan minat yang mendalam sejak di bangku sekolah," katanya.
Selain itu, teknologi pertanian seperti penggunaan dron bagi aktiviti pembajaan, meracun dan pemantauan tanaman turut diperkenalkan kepada petani dan peladang tempatan.
Bagi nelayan, aplikasi teknologi moden digunakan untuk mengesan pergerakan dan lokasi ikan sebelum turun ke laut, sekali gus meningkatkan hasil tangkapan dan mengurangkan kos operasi.
Pendekatan berasaskan STI ini bukan sahaja mampu menambah baik produktiviti, malah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
"Sains dan teknologi telah banyak membantu kehidupan seharian masyarakat dalam pendidikan, kesihatan, perhubungan dan sebagainya. Kini tiba masa rakyat memanfaatkannya sepenuhnya untuk meningkatkan taraf hidup," katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Kelantan untuk hadir beramai-ramai ke Stadium Sultan Muhammad IV serta lokasi-lokasi berkaitan bagi mendapatkan pendedahan dan peluang yang ditawarkan melalui program tersebut.