KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Program Madani Rakyat (PMR) 2025, kini tiba di Kelantan bermula esok (7 Ogos) hingga Sabtu (9 Ogos) bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Keempat, Kota Bharu.
PMR yang sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan di empat buah negeri di Sabah, Perak, Johor, dan Terengganu mencatatkan kehadiran kira-kira 700,000 pengunjung, manakala pada tahun lalu jumlah pengunjung keseluruhan melebihi 1.8 juta orang.
Keistimewaan edisi Kelantan kali ini terletak pada kelainannya yang mengetengahkan tema ‘Gerakan Bersama Malaysia Ku’.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, gerakan tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk memaparkan wajah sebenar rakyat Malaysia yang berjuang membangunkan negara melalui pelbagai bidang pekerjaan.
“Memang ini adalah pertama kalinya. Selama ini kita sering memaparkan wajah-wajah pemimpin dalam pelbagai program. Kali ini kita ingin tunjukkan wajah rakyat yang sebenarnya jerih perih mereka yang berjuang bersama-sama dalam membangunkan negara.
“Gerakan Bersama Malaysia Ku adalah usaha mempamerkan cerita dan gambar sebenar rakyat Malaysia yang menyumbang kepada pembangunan negara dan peningkatan ekonomi. Ini satu kelainan berbanding tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.
Inisiatif itu turut membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, tanpa mengira latar belakang pekerjaan termasuklah pekerjaan seperti penoreh getah untuk merakam detik mereka ketika bekerja dan berkongsi gambar tersebut di portal Bersama Malaysiaku.
Menariknya, peserta yang mengambil bahagian berpeluang memenangi hadiah istimewa yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Program PMR Kelantan menyasarkan kehadiran sekitar 25,000 pengunjung dengan menggunakan pendekatan skala kecil berbanding negeri lain.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk memeriahkan suasana dan memberi manfaat kepada warga Kelantan, antaranya Jualan RAHMAH dengan diskaun 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian untuk membantu meringankan beban kos sara hidup yang meningkat.
Aktiviti STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sebagai pendekatan baru turut diperkenalkan untuk menarik minat golongan muda.
Program pemberian helmet keselamatan serta pertukaran al Quran lama dengan yang baru sebagai sebahagian daripada aktiviti komuniti.
Selain itu, MARAK Fun Run, merupakan larian santai yang menggalakkan rakyat untuk beriadah sambil mengenakan pakaian tradisional, menambah seri dan semangat kebudayaan tempatan, turut diadakan.
Nik Kamaruzaman berharap agar warga Kelantan dapat bersama-sama turun memeriahkan PMR 2025 dan mengambil peluang untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan serta dapat menjadi platform memperkukuh semangat perpaduan rakyat sambil membantu mengurangkan beban kos hidup rakyat.