TAWAU, 2 November - Program KDN MADANI : Inspirasi Malaysia akan terus dilaksanakan setiap bulan untuk memberi khidmat langsung kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program turun padang itu bukan sekadar menyampaikan maklumat mengenai fungsi kementerian.
Malah, menjadi wadah mendekatkan rakyat dengan agensi-agensi bawah KDN.
"Kalau mereka berdepan dengan masalah seharian, misalnya isu kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri, dia tahu bahawa bukan hanya dia boleh datang ke Jabatan Pendaftaran Negara, tapi KDN juga turun (padang) mencari mereka. Tak perlu mereka datang ke jabatan, sebab kita ada program MEKAR, singkatan untuk menyemai kasih rakyat," kata beliau kepada media pada Program KDN MADANI: Inspirasi Malaysia (I’M) di Dewan Terbuka Pekan Merotai Besar Tawau.
Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin turut menekankan kepentingan masyarakat agar lebih berwaspada terhadap penipuan dalam talian yang kini menjadi antara jenayah paling membimbangkan berbanding jenayah harta benda.
Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata, KDN hari ini membawa peruntukan RM1 juta bawah program Kampung Angkat MADANI dengan tumpuan kepada beberapa kampung termasuk Kampung Kijang Merotai.
"Kemudahan termasuk masjid, sekolah, kemudahan tempat rekreasi orang kampung, sebanyak RM1 juta peruntukan diturunkan melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan untuk Program MADANI, " ujarnya.