AYER KEROH, 1 November- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM100 juta menerusi Program Jualan Agro Madani yang dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Pengarah Kanan Pemasaran Segar FAMA, Shahriza Sudiman berkata, setakat ini, program yang memanfaatkan lebih 7.1 juta isi rumah itu telah merekodkan jumlah jualan sebanyak RM64 juta.
Shahrizan berkata, program jualan itu memfokuskan tiga lokasi utama iaitu di kawasan pejabat kerajaan, kawasan perumahan berkepadatan tinggi serta di outlet FAMA seluruh negara.
"Sepanjang program kita berlangsung bermula bulan April yang lepas sehingga sekarang kita telah menerima seramai 54,000 usahawan yang menyertai dan ia adalah merupakan kejayaan yang memberangsangkan. Dari segi nilai jualan pula untuk jualan Agro Madani ini sehingga 29 Oktober kita telah mencatatkan jualan sebanyak RM64 juta," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jualan Agro Madani @Cuepacs yang dirasmikan Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat di Ayer Keroh, Melaka.
FAMA juga menyasarkan 5,000 program jualan sepanjang tahun ini dan sehingga 29 Oktober, sebanyak 3,569 jualan telah berlangsung.
Antara barangan yang ditawarkan adalah keperluan asas seperti telur, minyak dan beras termasuk ikan, ayam, sayur-sayuran serta buah-buahan.