fb fb fb fb fb

Penggunaan kamera keselamatan jalan raya bercirikan e-Plate sedang dikaji - MOT

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 1 November - Penggunaan kamera keselamatan jalan raya baharu yang menggunakan ciri e-Plate sedang dikaji Kementerian Pengangkutan sebagai langkah penambahbaikan dan mengurangkan risiko kemalangan di negara ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata ciri baharu kamera itu berupaya mengesan pemandu, lesen kenderaan dan tahap kelajuan kenderaan.

"Berkaitan dengan penambahbaikan mungkin akan ditambah kamera ini tetapi bukan dalam bentuk yang ada sekarang. Tempat-tempat yang baharu, tapi masih dalam kajian iaitu menggunakan e-plate dan sebagainya. Pada masa ini, dalam kajian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Hasbi, kos sebenar perolehan dan pelaksanaan kamera itu akan diumum jika penggunaannya mendapat kelulusan.

Hasbi berkata, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya di lokasi pemasangan kamera itu mencecah 99 peratus.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN