fb fb fb fb fb

Polis Johor tangkap lapan individu berkaitan pinjaman wang tanpa lesen

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU, 1 November - Lapan lelaki disyaki terlibat mengambil upah daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen untuk membuat ugutan jenayah berjaya ditangkap hasil serbuan di sekitar Kota Tinggi, Seri Alam dan Segamat pada 22 hingga 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua suspek berusia antara 16 hingga 43 tahun itu ditangkap bersama-sama beberapa barang rampasan seperti dua tong cat dan telefon bimbit.

Kebanyakan mangsa yang membuat pinjaman adalah warga tempatan yang bekerja di Singapura.

"Modus operandi sindiket pinjaman wang tanpa lesen ini adalah mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook dengan menggunakan ayat pinjaman wang berlesen Singapura bagi memperdayakan peminjam. Apabila peminjam memberi maklumat peribadi berkaitan akaun bank dan alamat tempat tinggal sindiket akan memasukkan wang ke dalam akaun peminjam walaupun belum dipersetujui," kata Kamarul dalam satu sidang media, di sini.

Tangkapan tersebut berjaya menyelesaikan 45 kes simbah cat dan khianat dengan api di sekitar Johor serta empat kes di Melaka dan satu kes di Negeri Sembilan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF