MELAKA TENGAH, 1 November - Tiada caj upah pemotongan ayam dikenakan kepada pembeli di Melaka.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata bekalan ayam yang dijual di pasar awam dan pasar raya seluruh negeri itu adalah harga ayam sebenar.
"Tiada caj pemotongan di negeri Melaka semuanya adalah harga sebenar maknanya kalau kita pergi ke pasar, kita hendak beli satu ekor ayam RM8.90 dan itulah harga dia termasuk pemotongan.
"Kalau sekiranya ada (caj pemotongan) terpulang kepada pengguna sama ada mereka masih mahu membeli ayam di kedai tersebut atau tidak sebab kena ingat bila sudah apungkan harga dia jadi pasaran bebas, dan bila pasaran bebas semua peniaga menjual dengan harga yang berlainan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan harga ayam di Pasar Besar Bachang, di sini.
Norena turut memberi jaminan kesemua ayam yang dijual di negeri itu adalah bekalan ayam baharu.
Dalam perkembangan lain, Norena berkata sebanyak 25,422 premis perniagaan telah diperiksa dengan 1,031 aduan rasmi diterima.
Katanya, lima aduan rasmi berkaitan ayam juga diterima atas pelbagai kesalahan.