fb fb fb fb fb

Program Jom Celik al-Quran, bantu golongan asnaf celik al-Quran

PUTRAJAYA, 15 Ogos- Majlis khatam yang diamalkan dalam masyarakat kita sejak dahulu, harus dikembalikan sebagai daya penarik bagi umat Islam mendekatkan diri dengan al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata inisiatif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Jom Celik al-Quran kali ke-2 merupakan usaha menyuntik semangat masyarakat agar terus membaca kalam Allah itu.

"Terutamanya kepada mereka yang hendak mengenali al-Quran daripada asas hinggalah pandai, daripada buta kepada celik, kerana kita mempunyai kaedah tersendiri yang terbukti dan teruji.

"Kita harapkan program itu diperluas untuk ke mana-mana tempat bukan sahaja wilayah mungkin seluruh Malaysia. Pada mula asalnya program tersebut diperkenalkan untuk Sabah Sarawak sahaja malah sekarang ni kita juga perkenalkan di Wilayah Persekutuan. Insya-Allah tempat-tempat lain juga akan diperkenalkan," kata Idris selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Jom Celik al-Quran kali ke-2 di sini.

(Datuk Idris ditemu bual selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Jom Celik al-Quran
kali ke-2)

Program tersebut disertai 120 orang peserta di lima buah lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan.

MAIWP telah melaksanakan kelas Tahsin al-Quran siri pertama bermula tahun 2020, memfokuskan bimbingan dan membaiki bacaan al-Quran kepada golongan asnaf.

Ini membuktikan MAIWP juga turut memastikan penerima bantuan zakat bukan hanya dibantu dalam bentuk material bahkan juga disantuni dari aspek spiritual.

(Majlis Khatam al-Quran Jom Celik al-Quran kali ke-2)

Media Baharu