fb fb fb fb fb

Program diplomasi budaya diperkenal, bermula pertengahan tahun ini

KUANTAN, 24 Januari- Kementerian Luar bercadang untuk memulakan program diplomasi budaya pertengahan tahun ini dengan penglibatan beberapa kedutaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata,di peringkat awal pihaknya mencadangkan penganjuran festival mini filem dan dokumentari bagi mempromosikan budaya tanah air di negara luar.

Perincian mengenai kandungan program diplomasi kebudayaan juga akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Biasanya kalau kedutaan itu menjadi penganjur, apa yang dilakukan ialah dia akan jemput 'public' untuk datang menonton sama macam di Kuala Lumpur kedutaan-kedutaan asing dia akan buat festival filem sama ada di kedutaan atau disewa panggung atau sebagainya dan 'public' akan datang menonton," katanya pada sidang media selepas melawat pejabat MOTAC Pahang di Kuantan.

Hadir sama, Setiausaha Kebudayaan Kementerian Luar, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri.

Dalam pada itu, Saifuddin turut bercadang mewujudkan jawatan ‘Atase’ kebudayaan di luar negara dalam usaha memenuhi keperluan dalam bidang diplomasi kebudayaan pada Bajet 2023.

Ujarnya, ia akan memperkasakan lagi usaha bagi membantu mempromosikan negara ke tahap lebih tinggi di seluruh dunia.

 

 

Media Baharu