SELANGOR, 2 Mei - NASIONALfm Ambil Tahu - ASYIKfm Kort Paney di Pulau Carey, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terbaharu dilaksana dua stesen radio RTM itu.
Ia diadakan bersempena Hari RTM Ke-79 dan Hari Kesihatan Sedunia.
Program berlangsung di Pusat Kraf Orang Asli Sungai Bumbun, Selangor pada 30 April lalu.
Tujuannya, meraikan peranan dan sumbangan besar RTM selama hampir lapan dekad dalam industri penyiaran.
Selain, meningkatkan kesedaran masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Bumbun mengenai kepentingan penjagaan kesihatan kendiri dan komuniti.
Pengurus NASIONALfm, Salbiah Mohd Sharif memaklumkan, program tersebut mendapat maklum balas positif.
"Kita harap program-program yang bagus ini akan terus membawa kita berhubung dengan masyarakat selari dengan slogan RTM itu sendiri iaitu Teman Setia Anda," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus ASYIKfm, Ramona Musa menyifatkan penganjuran program itu sebagai peluang terbaik memperkukuh jenama RTM termasuk stesen radionya.
"Untuk tahun ini dan pertama kali kami bekerjasama dengan NASIONALfm. Maksudnya pendengar boleh kenal NASIONALfm yang merupakan salah sebuah stesen radio RTM," ulas beliau.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma, sesi interaksi bersama penyampai NASIONALfm dan ASYIKfm serta persembahan artis popular tanah air.
Penduduk setempat turut disantuni menerusi penyampaian bantuan barangan keperluan asas dan persekolahan.
Program dijayakan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan dan Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun.
Beberapa rakan strategik turut terlibat iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selain Pusat Pakaian Hari-Hari dan Mamee.