KUALA LUMPUR, 2 Mei – Isu kesalahan pemaparan Jalur Gemilang semasa Laporan Analisis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu perlu diteliti dengan sebaiknya sebelum sebarang tindakan diambil, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat.
Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan isu berkenaan menjadi polemik kerana kesalahan sama turut berlaku sebelum ini melibatkan pihak lain.
“Sudah pasti, isu ini menjadi polemik sebab sebelum ini ada kes yang sama. Maka semua kes perlu diteliti dan tindakan wajar diambil berdasarkan peraturan sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Pekerja CUEPACS di ibu negara, hari ini.
Tambah beliau, penjawat awam tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya didapati melanggar peraturan dan tatatertib sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
“Secara mudahnya, sebagai penjawat awam, kita terikat dengan peraturan dan tatatertib yang boleh diambil tindakan atas sebarang salah laku.
“Bagi CUEPACS, ia bukan isu sama ada hendak ambil tindakan atau tidak tetapi yang paling penting, setiap salah laku boleh diambil tindakan. Terpulang kepada agensi dan pihak berkuasa melantik untuk melihat semula sama ada perkara tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan terpakai,” ujarnya.
Pada 29 April lalu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerajaan telah mengenal pasti pegawai yang terlibat dalam kesilapan memaparkan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM baru-baru ini.
Menurut beliau, siasatan terhadap kes berkenaan sedang dijalankan dan tindakan akan diambil mengikut prosedur Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
BERITA BERKAITAN
- KPM teruskan siasatan dalaman isu Jalur Gemilang
- Kesilapan Jalur Gemilang dalam laporan SPM, tindakan diambil selepas laporan lengkap
- Kesilapan cetakan Jalur Gemilang, tidak sepatutnya berulang
- Kesilapan paparan Jalur Gemilang, KPM jalan siasatan terperinci
- Tiada layanan dua darjat babitkan insiden Jalur Gemilang