fb fb fb fb fb

Program Berjalan Teguh Bersama beri peluang rakyat zahir semangat patriotisme

KUALA LUMPUR, 28 Julai- Program Berjalan Teguh Bersama memberi peluang buat seluruh lapisan masyarakat melepaskan rindu untuk menyertai sambutan Bulan Kebangsaan dan menzahirkan kecintaan kepada negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Zainudin Ismail berkata program berkonsepkan berjalan beramai-ramai secara santai sepanjang 2.7 kilometer pada Sabtu ini akan bermula di Dataran Putra, Putrajaya pada pukul 6.30 pagi.

Lebih menarik, Zainudin berkata pelbagai aktiviti akan dijalankan di sepanjang laluan program itu antaranya persembahan muzik Irama Gema Orang Asal dan pancaragam.

"Setelah dua tahun kita tidak dapat bersama akibat COVID-19, sambutan tahun ini adalah masanya untuk rakyat menyertai dan menzahirkan rasa bersyukur serta semangat patriotisme terhadap negara.

"Jadi, janganlah kita lepaskan peluang ini. Datanglah beramai-ramai untuk memeriahkan permulaan sambutan Bulan Kebangsaan itu nanti," katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Zainudin berkata program itu akan berakhir di Istana Kehakiman, Putrajaya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudiannya dijadual melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang.

(Foto fail)

Selain itu, seramai 600 peserta Konvoi Kembara Keluarga Malaysia akan dilepaskan pada hari tersebut sebagai tanda bermulanya program Kembara Keluarga Malaysia 2022 yang akan membawa Baton Jalur Gemilang ke seluruh negara dan diserahkan di setiap sempadan negeri.

Beliau berkata terdapat pelbagai aktiviti dijalankan menjelang 31 Ogos dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui hab informasi sambutan Hari Kebangsaan yang dikenali sebagai Portal Merdeka 360 di www.merdeka360.com.my. -BERNAMA

Media Baharu