JOHOR, 22 September- Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan ke selatan terbabas ke dalam longkang di bahu jalan dekat Kilometer 91.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.56 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng serta bantuan dari BBP Ayer Hitam dengan kekuatan 14 anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera FRT dan satu kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Muhammad Farhan Ahmad, kemalangan itu menyebabkan 11 penumpang terperangkap dalam bas berkenaan.
Bomba mendapati pintu bas rosak menyebabkan penumpang tidak dapat keluar daripada kenderaan tersebut.
Pasukan penyelamat bertindak memotong bahagian kenderaan terbabit menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kesemua mangsa melalui cermin hadapan.
Semasa operasi penyelamatan, lima mangsa mengalami kecederaan termasuk pemandu bas.
Pemandu bersama seorang penumpang diberikan rawatan segera oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mangsa dihantar ke hospital oleh bomba menggunakan kenderaan Unit EMRS.