KUALA LUMPUR, 27 Disember- Program Amal Solidariti Mesra Setiawangsa untuk Palestin dan Sudan, menjadi wadah menyatukan komuniti pelbagai kaum dalam menyuarakan sokongan terhadap krisis kemanusiaan di dua negara itu.
Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Setiawangsa, Datuk Afdhlin Shauki, ia sekali gus memupuk semangat kebersamaan serta menggalakkan kefahaman masyarakat terhadap isu berkenaan secara kolektif.
“Terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan, termasuk jualan oleh beberapa artis. Antara program penting ialah selawat untuk Palestin dan Sudan, serta tazkirah oleh ustaz-ustaz jemputan yang membincangkan isu Palestin, Sudan dan tanggungjawab kita terhadapnya. Selain itu, wayang pacak turut dianjurkan pada malam tersebut, menayangkan filem-filem berkaitan permasalahan yang berlaku di sana," kata Datuk Afdlin kepada pemberita RTM, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata program yang mengangkat tema "Beribadah Sambil Bersolidariti" itu, menggabungkan elemen keagamaan, seni dan kebudayaan dalam menyemai semangat empati serta keprihatinan masyarakat terhadap isu kemanusiaan global.
“Seperti yang kita sedia maklum, sokongan ini bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga melalui doa. Kita hadir dengan suara kita, bersatu hati, serta memberikan sokongan moral kepada negara-negara yang terlibat," kata Datuk Mohd Aizuddin kepada pemberita.
Mereka ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), hari ini.
Program yang berlangsung sehingga 29 disember di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur itu menawarkan pelbagai aktiviti untuk semua peringkat umur selain turut dimeriahkan dengan kehadiran artis dan selebriti seperti Zizi Kirana, Heliza Helmi dan Noraniza Idris.
Pengunjung turut berpeluang memenangi sebuah motosikal elektrik menerusi cabutan bertuah selain membuka ruang pendedahan kepada golongan muda terhadap kesukarelawanan.
Turut diadakan aktiviti Pasport Gaza Discovery, yang membawa peserta menelusuri beberapa hentian bagi memahami realiti kehidupan rakyat Palestin di Gaza.