(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 14 Jun- Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan program “2-Years Exit” melalui pendekatan “kebajikan produktif” bermula pada tahun 2016.
Fokus program tersebut adalah bagi membantu penerima bantuan JKM yang produktif untuk hidup berdikari dan tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan kebajikan.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu.
(Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Aiman Athirah Sabu)
Sepanjang tempoh pelaksanaan program tersebut, beliau berkata peserta diberikan latihan berkaitan termasuklah geran modal berjumlah RM2,700.00 dan turut dipantau serta diberi bimbingan secara berterusan.
"Berdasarkan statistik JKM bilangan peserta yang telah menamatkan program ini iaitu antara tahun 2016-2022 adalah seramai 5,009 dan daripada jumlah tersebut seramai 1465 orang peserta telah tidak lagi memerlukan bantuan kebajikan.
"Semua usaha ini telah dilaksanakan oleh JKM bagi membantu penerima bantuan yang produktif untuk bangkit dan meningkatkan taraf hidup mereka dan seterusnya dapat membawa diri dan keluarga mereka kepada hidup yang lebih baik", katanya ketika menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh wakil Ampang Rodziah Ismail di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, bagi peserta yang belum berjaya berdikari mereka akan terus dibantu melalui pemberiaan bantuan bulanan JKM.