AYER KEROH, 14 Jun- Kerajaan Melaka sasar 25,000 pengunjung memeriahkan Melaka Agrofest 2023 pada 23 hingga 25 Jun depan di Dataran Sejarah Ayer Keroh.
Program yang bertemakan 'Sekuriti Makanan Tanggungjawab Bersama' itu merupakan penjenamaan semula Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri yang diadakan setiap tahun.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau turut menyasarkan kutipan jualan produk industri asas tani sebanyak sejuta ringgit menerusi program tersebut.
Menurut beliau, pelbagai program pengisian diadakan sepanjang tiga hari itu termasuk pertandingan akhir Battle of The Band, Tentera Darat Malaysia, Pameran Lembu Sado, dan juga jualan Agro Madani.
"Kita juga ada sesi soal jawab usahawan yang bertajuk pertanian dan peluang. Selain itu kita juga ada jemput artis-artis tempatan untuk memeriahkan program ini.
"Selain itu jualan makanan popular Melaka turut diadakan supaya pengunjung boleh rasa semua makanan viral di sini. Lebih 15 karavan dan jugak pameran agensi dan jabatan kerajaan turut dalam program ini," katanya pada Sidang Media Melaka Agrofest 2023 di Wisma Negeri, di sini.
Menerusi Melaka Agrofest 2023, pengunjung dapat menikmati jualan barangan makanan dengan potongan harga sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding harga di pasaran.
(Dr Muhamad Akmal Saleh)