GUA MUSANG, 14 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berharap peniaga tidak membuat penjualan gula secara bersyarat dan menaikkan harga barangan sempena Hari Raya Aidiladha ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pihaknya sudah melakukan pemantauan dan para peniaga juga diingatkan untuk memastikan bekalan tersebut tidak terputus.
Setakat ini pihaknya ada menerima aduan dua kes di daerah Pasir Mas yang menjual gula melebihi harga kawalan yang ditetapkan pihak kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram.
"Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang menjual lebih daripada harga kawalan gula iaitu RM2.85. Kalau kita dapati ada yang menjual lebih daripada harga kawalan kita akan ambil tindakan serta merta.
"Kita sudah beri amaran, kalau masih lagi berlaku kita akan ambil tindakan. Jadi saya mengharapkan supaya peniaga-peniaga boleh membantu pengguna supaya tidak mengambil kesempatan terutamanya musim Aidil Adha," katanya kepada pemberita di Program Jualan Rahmah parlimen Gua Musang di Dataran Kesedar, Bandar Baru.
(Azman Ismail)