KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan program khas "Al-Quran Di Mana-Mana" sebagai inisiatif segar yang mendekatkan mesej al-Quran kepada masyarakat melalui pendekatan seni jalanan.
Program tersebut antara usaha untuk menyemarakkan lagi dakwah kontemporari di tengah kota raya.
Program tersebut turut mendapat suntikan luar biasa apabila disantuni oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee serta Penolong Pengarah JAKIM, Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail.
"Untuk kita membaca al-Quran, kita mesti berada di masjid, surau atau tempat-tempat tertentu, ataupun menghadiri majlis tilawah dan hafazan al-Quran.
Sebenarnya, mesej yang ingin disampaikan di sini ialah mengajak semua sahabat dan rakan-rakan agar sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran," kata Datuk Dr. Na'im kepada pemberita, malam tadi.
Bertemakan “Al-Quran Untuk Semua”, program itu menampilkan qari muda, ikon Gen Z Muslim, serta artis nasyid sebagai penyampai mesej Islam yang inklusif, kreatif dan menyentuh hati.
Inisiatif berkenaan juga menjadi platform promosi kepada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali Ke-65 yang bakal berlangsung di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, bermula 2 hingga 9 Ogos ini.
Program tersebut juga menerima sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta rakan media selain turut melibatkan penyertaan pelajar IPT dan penggiat media dakwah.
Usaha tersebut selari dengan nilai Malaysia MADANI iaitu menyantuni masyarakat pelbagai latar dalam suasana harmoni, kasih sayang dan spiritual yang menyegarkan jiwa.