Produk IKS diberi keutamaan bantu penduduk terjejas banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/RTM

SUBANG JAYA, 8 Februari -Produk keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) akan menjadi keutamaan untuk diedarkan kepada penduduk terjejas banjir ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Produk IKS diutamakan untuk diedarkan kepada penduduk terjejas banjir semasa Monsun Timur Laut akan datang.
  • NADMA akan mengkoordinasi pengagihan barangan IKS dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Kerajaan komited bantu usahawan kecil dan pengeluar produk halal untuk kekal berdaya saing antarabangsa.
  • PMKS digalakkan mempelbagaikan produk bukan hanya makanan dan minuman untuk capai pasaran lebih luas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, produk tempatan itu dibiayai melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya telah mengarahkan agar barangan yang akan diedarkan ketika Monsun Timur Laut nanti adalah barang-barang IKS yang akan dikoordinasikan oleh NADMA sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Pasaraya Mydin, di sini.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan kekal komited membantu usahawan kecil dan tempatan khususnya pengeluar produk halal bagi memastikan daya saing mereka kekal kukuh di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, produk halal keluaran Malaysia terbukti mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan negara Islam, malah di negara yang mempunyai populasi minoriti Muslim berikutan tahap kepercayaan tinggi terhadap kualiti dan standard produk tempatan.

Katanya, hasil promosi dan pameran seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) serta inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Dubai dan Shanghai baru-baru ini telah mencatatkan jualan melebihi RM3 bilion dalam tempoh hanya tiga hari.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar tidak hanya menumpukan pengeluaran kepada produk makanan dan minuman, sebaliknya mempelbagaikan rangkaian produk bagi memanfaatkan peluang pasaran yang lebih luas.