fb fb fb fb fb

PRN: Rakyat dijamin terima maklumat tepat - Fahmi

KOTA BHARU, 12 Mei - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memastikan rakyat mendapat maklumat tepat daripada semua pihak sepanjang tempoh Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, secara amnya mengikut prinsip demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat sepanjang tempoh tersebut yang juga akan melibatkan beberapa parti politik di negara ini.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan atau perbincangan daripada jemaah menteri khususnya berkaitan kebenaran liputan khususnya terhadap pihak pembangkang.

"Secara amnya prinsip demokrasi adalah rakyat berhak mendapat maklumat jadi kita akan teliti dan mengambil kira kesesuaian dan ekspektasi apa yang rakyat dambakan dan ia akan terpakai kita harap bukan hanya untuk PRN tetapi juga untuk Pilihan raya umum (PRU) sekalipun jadi saya lihat ada beberapa perkara yang kita akan ambil kira," kata Fahmi di sini.

(Fahmi bercakap kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan bakul makanan sempena Aidilfitri
kepada 200 penerima termasuk asnaf, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) DUN Kota Lama
di perkarangan surau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu, Kelantan)

Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan masyarakat supaya peka dan berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat terutama berkaitan soal raja, agama dan kaum di media sosial.

Ia bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika berlaku perkara diluar kawalan.

Dalam perkembangan lain Fahmi berkata, KKD sedang meneliti cadangan bagi mengusahakan penggunaan teknologi internet satelit di lebih 200 kampung sekitar negeri Kelantan, sebagai salah satu pilihan bagi menangani masalah akses dan rangkaian internet di kawasan terlibat.
 
"Kita ada menerima beberapa cadangan daripada beberapa pihak sebagai contoh ada sejumlah 200 kampung yang ada sebut tadi ini kita sedang teliti kerana sebelum kita meneruskan apa-apa ikhtiar atau program kita perlu membuat kaji selidik dan juga kajian yang rapi dan teliti untuk memastikan penyelesaian tu suai manfaat dengan tempat tersebut," katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya perlu melakukan kaji semula model yang pernah diguna sebelum ini bagi memastikan kesesuaian sebelum membuat keputusan dan pengumuman tidak lama lagi.

Dalam pada itu, jelasnya, secara keseluruhan, masih ada tiga peratus iaitu melibatkan 3,000 kawasan berpenduduk yang belum menerima capaian 4G di seluruh negara dan memerlukan penyelesaian berbeza bagi menyelesaikan isu tersebut.

Terdahulu, Fahmi mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 200 penerima termasuk asnaf, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) dalam DUN Kota Lama.

Media Baharu