fb fb fb fb fb

Siasatan kes Jho Low tidak dihentikan - Acryl Sani

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Siasatan polis terhadap Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) tidak akan dihentikan sehingga lelaki itu berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung usaha membawa Jho Low atau Low Taek Jho pulang.

(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani / FOTO BERNAMA)

"Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), kertas siasatan terhadap Jho Low iaitu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, masih berjalan.

"Pertuduhan ke atasnya sudah dibuat di mahkamah pada Ogos 2018. Sekiranya subjek ini dapat di bawa pulang ke Malaysia tentu sekali kita akan teruskan dengan pertuduhan tersebut," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini.

Menurut Acryl Sani, pada masa ini beliau belum berkesempatan untuk bertemu dengan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berbincang berhubung usaha membawa pulang Jho Low.

Pada 5 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang berunding dengan negara-negara berkaitan untuk mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low.

Media Baharu