fb fb fb fb fb

PRN: Anwar serah kebijaksanaan pimpinan negeri mulakan rundingan kerusi

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Persiapan antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuklah mengenai rundingan pembahagian kerusi, strategi kempen dan calon yang akan bertanding.

Bagaimanapun beliau berkata bagi negeri yang dikuasai mutlak oleh gabungan tertentu seperti Pakatan Harapan (PH) di Selangor dan Pulau Pinang, rundingan mengenai pengagihan kerusi harus dimulakan oleh kepimpinan negeri sebelum hasil rundingan itu dikemukakan kepada pusat. 

"Saya serah kepada kepimpinan negeri yang harus memulakan rundingan secara lebih kemas dan mengemukakan kepada kepimpinan pusat.

"Pimpinan parti lain yang tidak bertanding akan terus memberi kerjasama dan sokongan untuk menunjukkan kesepaduan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. Rundingan ini akan diteruskan dalam masa singkat mungkin wakil Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan umumkan agihan kerusi, calon dan strategi kempen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di ibu negara.

Mesyuarat kira-kira dua jam itu turut dihadiri beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan antaranya Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.


(Anwar hadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di
Menara Dato' Onn, ibu negara /BERNAMA)

Enam negeri sebelum ini sepakat membubarkan DUN masing-masing pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada 14 Mei ini adalah percubaan pihaknya untuk terus mewujudkan semangat kemuafakatan dalam kalangan kaum dan wilayah di negara ini. 

Ia sekaligus bagi memastikan agenda rakyat dapat dilaksana dengan berkesan.

"Mesej kita ke seluruh negara ini ialah suatu percubaan yang unik dalam sejarah  yang mengulangi usaha untuk mewujudkan kemuafakatan kaum dan wilayah bermula sejak peringkat awal kemerdekaan, kemudian pada zaman Tunku Abdul Rahman dan oleh Tun Abdul Razak.

"Kita harap percubaan usaha ini berkesan dan berhasil bagi menjamin kesinambungan, kelangsungan dan yang paling penting agenda rakyat itu dapat dilaksanakan dengan cukup berkesan," katanya. 

 

Media Baharu