fb fb fb fb fb

Tangguh aktiviti luar ketika cuaca panas- KPM

(Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek)

NIBONG TEBAL, 7 Mei- Kementerian Pendidikan (KPM) sekali lagi mengingatkan sekolah di seluruh negara supaya menangguhkan aktiviti di luar bilik darjah susulan cuaca panas bagi mengelak diserang strok haba.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penangguhan aktiviti itu hanya bersifat sementara hingga keadaan cuaca benar-benar selamat untuk murid dan pelajar menjalankan program di luar kelas.

Beliau berkata biarpun ada negeri yang kini cuaca sudah semakin baik pihaknya tetap berterusan menjalankan pemantauan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

"Setakat ini memang tiada sekolah yang ditutup susulan cuaca panas, namun kita terus dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Pengurusan berkaitan garis panduan serta pemantauan dilakukan dengan ketat oleh KPM bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi memastikan keadaan terkawal. Biarpun penangguhan ini bersifat sementara, namun ada sesetengah negeri yang cuacanya semakin baik maka kita akan sentiasa pantau dari masa ke semasa.," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Dato Haji Ahmad Salleh, Kampung Permatang Keling, Nibong Tebal.


(Fadhlina pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Dato Haji Ahmad Salleh,
Kampung Permatang Keling, Nibong Tebal)

Hadir sama Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sehingga kini tiada sekolah ditutup memandangkan keadaan masih selamat dan kesiapsiagaan KPM berdepan isu terbabit.

Media Baharu