KEMAMAN, 30 November- Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember nanti disifatkan Perdana Menteri sebagai calon 'tiada cacat cela' kerana memiliki rekod cemerlang semasa menjawat jawatan Panglima Angkatan Tentera.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan calon yang diangkat oleh Barisan Nasional (BN) iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor itu tidak hanya akan menjadi Ahli Parlimen biasa sekiranya memenangi kerusi Kemaman.
"Rekod beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera itu rekod yang baik, yang tak ada cacat celanya. (Mohamed Affandi) insan yang menjaga dan pertahankan setiap inci bumi bertuah ini.
"Insya-Allah dengan kedudukan beliau, saya percaya kalau beliau jadi Ahli Parlimen, tidak akan jadi Ahli Parlimen yang biasa," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani PRK Kemaman di Chukai, sini.
Tambah Anwar, Kerajaan Perpaduan perlu diberi peluang memerintah secara sepenuhnya agar tumpuan penuh dapat diberikan kepada sektor ekonomi, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.