KUALA LUMPUR, 29 Disember- Kelantan dan Terengganu telah mula membuka pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini susulan beberapa kawasan dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak malam tadi
Di KELANTAN sebanyak lima PPS dibuka di Tahan Merah melibatkan 96 orang daripada 29 keluarga.
Berdasarkan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 28 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK)Gual Jedok, manakala 25 lagi daripada tujuh keluarga berlindung di SK Bendang Nyior.
Selain itu, 17 orang daripada lima keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamad Yaakob, diikuti 13 orang (enam keluarga) di SK Lawang dan 13 orang (tiga keluarga) di SK Kelewek.
Di TERENGGANU sebanyak empat PPS dibuka di Hulu Terengganu membabitkan 112 orang daripada 37 keluarga.
Paling ramai direkodkan di PPS Balairaya Kg Kemat iaitu 38 orang (12 keluarga) diikuti Masjid Kampung Peneh 35 orang (14 kelurga) dan PPS Balairaya Kg Lubuk Periuk 20 orang (lima keluarga) manakala PPS Kg Cheting mencatatkan 19 orang daripada enam keluarga, menurut Info BencanaJKM.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) hari ini melaporkan hujan lebat berterusan dijangka melanda seluruh Terengganu hingga esok selain di Kuantan, Pahang serta beberapa daerah di Kelantan seperti Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
METMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Gua Musang serta di Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin di Pahang dan Mersing di Johor.