KEPALA BATAS, 23 April- Program Perumahan Kesejahteraan Rakyat (PPKR) Tok Alang Fasa 2 menerima peruntukan bagi projek sambungan, sebanyak RM18 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-11.
Sebanyak 93 buah rumah kos rendah meliputi tanah seluas tujuh ekar dengan saiz bangunan 730 kaki persegi, akan dibangunkan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Khaliq Mehtab Ishaq berkata, projek dibangunkan seiring objektif penubuhan PERDA iaitu membangunkan kawasan menerusi pembangunan industri, perumahan serta kemudahan infrastruktur.
"Rumah mampu milik objektif PERDA untuk menyediakan perumahan mampu milik pada rakyat bumiputera di Pulau Pinang kurang berkemampuan. PERDA memahami situasi semasa harga tanah di Pulau Pinang melambung tinggi. PERDA merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjadi hasrat dan tanggungjawab memastikan dapat memberikan perumahan mampu milik kepada rakyat yang tidak mampu untuk memiliki rumah yang mahal," katanya.
Khaliq ditemui dalam majlis berbuka puasa Program PERDA4U Ihya Ramadan 2022 di Penang Golf Resort, Kepala Batas.
Majlis turut meraikan 53 penduduk Taman Desa Rakyat Tasek Gelugur dengan pemberian saguhati Aidilfitri bernilai RM100 serta bakul makanan.
Kesemua mereka merupakan pemilik dan mendiami PPKR Tok Alang Fasa 1.
(Khaliq menyampaikan saguhati Aidilfitri kepada salah seorang penerima dari PPKR Tok Alang Fasa 1 pada Program PERDA4U Ihya Ramadan 2022 di Kepala Batas)