KANGAR, 1 Ogos -Program Perlis Online Tuition (POT) setakat hari ini merekodkan lebih 27,000 tontonan dengan 100 episod pengajaran dijadual disiarkan hingga menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengarah Pendidikan Negeri Perlis Rose Aza Che Arifin berkata, ia merupakan satu inisiatif pendidikan percuma secara dalam talian, diperkenalkan bagi membantu pelajar tingkatan lima membuat persiapan menghadapi SPM.
Program itu terhasil ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang pada awalnya dikenali sebagai Perlis Online Teaching.
"Kita menyediakan cikgu-cikgu kita yang pakar dalam subjek-subjek dan subjek tu kita fokus pada subjek teras dan elektif, kita tak pinggir mana-mana subjek lah. Kita panggil semua guru cemerlang dan kita minta mereka ini mengajar secara dalam talian dan kita minta juga kerjasama pada sekolah supaya pantau anak-anak yang tingkatan lima supaya masuk dalam tuition ini lah,"katanya pada sidang media di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Program tersebut mendapat sokongan padu daripada pihak sekolah yang memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan dan penyertaan pelajar terutamanya yang tinggal di asrama, agar mereka aktif mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).