KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Sebanyak 21 lokasi blackspot atau kawasan kerap berlaku kemalangan dikenal pasti Polis Kontinjen Terengganu ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata daripada jumlah itu lima lokasi di daerah Besut.
"Marang empat lokasi, Hulu Terengganu (tiga), Kemaman (dua), Dungun (dua), Kuala Terengganu (dua), Setiu (dua) dan Kuala Nerus (satu)," katanya pada pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri Terengganu di sini.
Tambahnya, pihak polis juga mengenal pasti 34 lokasi yang kerap berlaku kesesakan disebabkan pertambahan kenderaan keluar masuk ketika musim perayaan.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata lebih 400 pegawai dan anggota akan bertugas melakukan rondaan serta ditempatkan secara statik di blackspot berkenaan sempena Op Selamat 23 yang bermula Selasa ini.
"Kita mengharapkan untuk Op 23 (Op Selamat 23) ini akan berlaku penurunan pengurangan daripada segi kemalangan," katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Khairi berkata jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang Op Selamat 21 meningkat lebih 98 peratus, iaitu 13,405 berbanding 8,874 sepanjang Op Selamat 19.