KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Dua penuntut sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang maut selepas terjatuh dari kondominium di Taman Melati, di ibu negara pada 20 Ogos lalu tidak mempunyai kaitan meskipun berlaku di kediaman dan universiti sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, polis mengesahkan perkara itu dan ketika ini polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti motif kejadian membabitkan mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang lelaki berusia 21 tahun itu.
"Berdasarkan keterangan beberapa individu, kedua-dua mangsa tidak mengenali antara satu sama lain. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan secara menyeluruh termasuk dakwaan berlakunya buli.
"Kita akan mengambil kira semua faktor dan bukti untuk mengenal pasti sekiranya berlaku elemen buli yang membawa kepada insiden bunuh diri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Laporan Mati Mengejut (SDR).
Mengulas lanjut berhubung kes tersebut, beberapa lagi keterangan saksi akan diambil bagi melengkapkan siasatan dan setakat ini pihaknya berpuas hati dengan perkembangan kes berkenaan.
Dalam kejadian pertama pada 20 Ogos lalu seorang penuntut wanita dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 kira-kira pukul 6.48 pagi, sebelum ditemukan di tingkat lapan kondominium berkenaan dan disahkan meninggal dunia.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan dialami kerana terjatuh dari tempat tinggi, manakala pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Sementara itu insiden kedua berlaku pada pukul 9.35 malam pada hari sama, membabitkan seorang penuntut lelaki berusia 21 tahun yang terjatuh dari tingkat 35 kondominium tersebut sebelum ditemukan di bahagian belakang bangunan dan disahkan meninggal dunia di lokasi.