fb fb fb fb fb

Polis rakam lapan keterangan, insiden keracunan makanan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Polis telah merakam keterangan lapan individu dalam siasatan kes kematian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun yang disyaki akibat keracunan makanan selepas memakan mihun dan telur goreng, pada 10 dan 11 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir dalam satu kenyataan menyebut, rakaman itu melibatkan keterangan daripada keluarga remaja dan kanak-kanak berkenaan, serta pembekal makanan kepada sekolah agama terlibat di Gombak, sehari selepas kejadian pada Sabtu, 9 Jun 2024.

Polis juga sedang mengenal pasti individu lain yang mengalami keracunan makanan akibat menjamah makanan pada program yang dianjurkan di sekolah agama berkenaan.

"Pihak polis juga akan memanggil pihak penganjur program, pengetua sekolah dan lain-lain individu yang terlibat dalam penyediaan makanan berkenaan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin dalam kenyataannya semalam memaklumkan 82 individu yang hadir pada program berkenaan turut mengalami gejala berkaitan keracunan makanan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI