fb fb fb fb fb

Polis Perak lupus pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4.7 juta

IPOH, 28 Oktober- Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah membabitkan siasatan sejak tahun 2003 hingga 2022 yang bernilai lebih RM4.7 juta.

Pelupusan itu melibatkan dadah yang dirampas dan sudah diselesaikan serta mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata dadah yang dilupuskan terdiri daripada 3 kilogram (kg) heroin; ganja (14.1 kg); syabu (5.6 kg); ketamin (2.4 kg) serta pelbagai jenis dadah sintetik.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Perak mengadakan pelupusan barang kes dadah pada hari ini dengan menghantar kesemua barang kes dadah tersebut kepada Syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd Bukit Pelanduk Negeri Sembilan.

"Kesemua eksibit ini adalah hasil daripada serbuan dan rampasan yang dilakukan serta telah pun selesai daripada segala prosiding mahkamah," katanya pada program pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

(Datuk Mohd Yusri Hassan Basri)

Mohd Yusri turut mendedahkan sepanjang Januari hingga September tahun ini pihaknya telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM126 juta dengan nilai sitaan harta berjumlah RM7.4 juta.

Untuk tempoh tersebut juga, seramai 544 individu dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu