fb fb fb fb fb

Polis Marin Langkawi tahan dua lelaki seludup masuk bahan masak mentah dari Thailand

FOTO POLIS MARIN LANGKAWI

LANGKAWI, 20 April- Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menahan dua orang lelaki warga tempatan yang disyaki cuba menyeludup masuk lebih 25 jenis bekalan bahan masak mentah Thailand ke pulau itu, dalam Ops Taring Landai kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 1 Pulau Pinang ACP Rusley Chi Ari dalam satu kenyataan berkata suspek masing-masing berumur 48 dan 52 tahun, ditahan oleh bot ronda unit risik PPM Langkawi semasa sedang memunggah keluar barangan tersebut daripada sampan ke dalam sebuah pikap di kawasan sungai Taman Nilam.

Menurutnya, penemuan mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik yang mengandungi bahan masakan seperti beras pulut, jeruk buah-buahan, sosej, bebola, botol minuman berperisa serta heberapa jenis makanan segera yang lain berharga kira-kira RM2,000 dan salah seorang suspek (tekong) mengaku membawa barangan itu diperoleh dari laut yang diambil daripada nelayan Thailand.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek itu gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran atau pengesahan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membawa barang berkenaan.

Turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis pikap, sebuah sampan berserta pelbagai jenis barangan masakan.

Kesemua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM123,982 dan suspek terlibat dibawa ke Markas Operasi PPM Langkawi untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, ACP Rusley berkata penahanan barang dan suspek dilakukan mengikut Akta Kastam 1967 kerana disyaki membawa barang tidak bercukai untuk pasaran tempatan.

Kes seterusnya diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE