fb fb fb fb fb

Polis buru lelaki didakwa cederakan isteri, selepas video tular

JITRA, 1 Februari - Seorang lelaki diburu pihak Polis selepas video pergaduhannya mencederakan seorang wanita, yang dipercayai isterinya tular di laman sosial selepas dimuat naik di aplikasi Tiktok semalam.

Suspek dipercayai menumbuk belakang badan serta menarik rambut wanita terbabit dan kejadian dipercayai berlaku di Tasik Bandar Darul Aman, Jitra pada Sabtu lalu.

Video pergaduhan itu memaparkan seorang lelaki memegang spanar bersama seorang pengawal keselamatan cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata kejadian berlaku apabila suspek yang berusia 33 tahun naik berang selepas mangsa enggan kembali hidup bersamanya.

Katanya, pasangan suami isteri itu kini dalam proses untuk bercerai dan tinggal berasingan sejak 8 November lalu.

"Semasa kejadian, wanita berusia 22 tahun itu pergi ke kawasan tasik untuk mengambil anak perempuannya yang berusia enam tahun yang dijaga sementara oleh suspek.

"Bagaimanapun suspek dipercayai memukul mangsa menyebabkan dia menjerit meminta tolong sebelum orang awam datang membantu.

"Suspek kemudian berhenti memukul mangsa dan melarikan diri apabila orang ramai menggertak akan membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di belakang pasar Changlun kira-kira pukul 1 pagi semalam.

Namun premis tersebut berkunci dan tidak berpenghuni.

"Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pukul iaitu mendatangkan kecederaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Media Baharu