
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kerajaan akan meneliti pelbagai cadangan dan inisiatif bagi membantu merancakkan aktiviti perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi Belanjawan 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, cadangan berkenaan diperoleh daripada pelbagai kementerian, agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi sesi libat urus yang diadakan kerajaan.
“PMKS merupakan antara tulang belakang ekonomi negara. Jadi, dari segi pendekatan kerajaan, kita akan memberi perhatian yang lebih kepada PMKS dalam Belanjawan 2027.
“Kalau kita lihat situasi ekonomi negara, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua amat memberangsangkan, iaitu enam peratus.
“Apa yang kita mahu usahakan ialah memastikan limpahan daripada perkembangan KDNK negara turut sampai ke semua pelosok negara, termasuk kepada PMKS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 Bank Simpanan Nasional (BSN), di Kuala Lumpur, hari ini.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober depan turut memberi tumpuan kepada 10 teras yang digariskan dalam kerangka Belanjawan 2027.
Katanya, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah usaha menangani kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan yang bermakna serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Langkah itu penting bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat, di samping memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.