PUTRAJAYA, 27 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak lagi akan meluluskan sebarang permohonan tender kerajaan secara terus, sebaliknya ia perlu mengikut proses yang betul.
Beliau berkata, setiap tender perlu diteliti mengikut keperluan semasa negara dan disahkan Kementerian Kewangan (MOF).
"Saya tidak akan luluskan kerana bagi saya, ia hilang maksud dan roh Islam ini serta semangat wakaf sekiranya dibiarkan kecurangan itu. Saya tidak peduli surat dari mana, besar mana, ia perlu mengikut proses.
"Umpamanya untuk membeli perkakasan digital, kecerdasan buatan (AI) yang baharu, pusat data perlu ikut proses tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama majlis sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di sini.
Tambah Anwar, perkara sama perlu dititikberatkan ketika proses pemperolehan aset pertahanan negara.
Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak boleh menentukan apa yang mahu dibeli, sebaliknya perkara tersebut perlu perbincangan teliti dan diputuskan berdasarkan keutamaan sesuatu pembelian.
"Jangan kita beli kapal, tetapi berpuluh-puluh tahun tersadai. Berbilion ringgit hilang dan kita diam. Ini kerja yang akan menjahanamkan negara. Padahal ini soal pertahanan negara.
"Perkara ini perlu dibincang secara teliti dan kemudian diputuskan dengan dana yang terbatas. Dibeli dengan cara yang telus dengan harga yang berpatutan. Ini kaedahnya.
"Bagi orang-orang yang tidak senang dengan hal ini, saya tidak kira peringkat tolong dengar. Saya tidak akan izinkan, kerana ini akan mengorbankan, mengkhianati dan akan merosakkan sistem pertahanan negara kita," tegas Anwar.