PM ucap terima kasih kepada Presiden Iran beri laluan kapal tangki Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan penghargaan kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian atas kebenaran laluan kepada kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah itu sejajar usaha Malaysia memastikan keselamatan rakyat dan aset di perairan antarabangsa.
  • Perdana Menteri menghubungi Presiden Mesir dan Perdana Menteri Pakistan bagi membincangkan ketegangan dan usaha mencari keamanan.
  • Sekatan di Selat Hormuz dan gangguan bekalan minyak serta gas berpotensi menjejaskan Malaysia, namun Petronas mampu mengurus bekalan dan kestabilan tenaga.

Datuk Seri Anwar berkata langkah itu sejajar dengan usaha Malaysia memastikan keselamatan rakyat dan aset negara di perairan antarabangsa.

“Saya ambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Iran kerana memberi laluan lebih awal dan kini kita dalam proses memastikan kapal minyak Malaysia serta pekerja terlibat dapat meneruskan perjalanan pulang,” katanya menerusi perutusan khas hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau sebelum ini telah menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi bagi membincangkan ketegangan di Asia Barat.

Perdana Menteri turut berhubung buat kali ketiga dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini untuk mendapatkan maklumat berkaitan usaha mencari keamanan susulan konflik yang tercetus akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

“Keadaan ini tidak mudah kerana Iran berpandangan mereka telah beberapa kali tertipu dan sukar menerima langkah ke arah perdamaian tanpa jaminan keselamatan yang jelas.

“Tempias konflik turut menjejaskan Lubnan dengan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Pada masa sama, isu Palestin dan Gaza masih belum diselesaikan, malah keadaan kemanusiaan semakin meruncing,” katanya.

Beliau menambah sekatan di Selat Hormuz serta gangguan bekalan minyak dan gas global berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.

Namun, jelas Datuk Seri Anwar, Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik berikutan keupayaan Petronas dalam mengurus bekalan dan mengekalkan kestabilan tenaga negara.