KUALA LUMPUR, 28 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelukis komik legenda Malaysia, Rizalman yang meninggal dunia pagi tadi.
Perdana Menteri menyifatkan Rizalman atau nama sebenarnya Mohamad Razali Osman, mempunyai jasa yang cukup besar dalam industri lukisan dan perusahaan komik, di negara ini.
Beliau berkata ketika industri komik masih di peringkat awal di tahun 70-an, Rizalman sudah menerbitkan komik yang popular dan berjaya seperti Bujal, Salina dan Bambino, selain banyak menghasilkan komik bercorak masyarakat dan penyiasatan.
"Beliau juga turut menyumbangkan komik kepada Utusan Pelajar sekitar 1970-an, serta akhbar utama termasuk Mingguan Malaysia.
"Mendoakan Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, media melaporkan kartunis veteran berasal dari Kelantan itu, meninggal dunia pada usia 76 tahun.