Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada Imam Besar Al-Azhar Al-Sharif (Sheikh Al-Azhar) Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb atas pemergian kakaknya, Samiha Mohammed Ahmad Al-Tayyeb.
Beliau menerusi hantaran di Facebook turut mendoakan agar allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, selain mengurniakan kesabaran dan kekuatan kepada keluarga Profesor Dr Ahmad.
Terdahulu, menerusi lawatan rasmi selama empat hari di Mesir, Perdana Menteri sempat mengadakan pertemuan bersama Profesor Dr Ahmad.
Pertemuan itu diadakan selepas beliau bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Al-Ittihadiya.
Dalam perbincangan bersama, Datuk Seri Anwar memaklumkan mengenai cadangan memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama menerusi program Sains Islam (Ulum Islamiah) antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Al-Azhar Al-Sharif.