KUALA LUMPUR, 22 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan rasa dukacita atas pemergian bekas Presiden Vietnam,Tran Duc Luong.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri memakluman mendiang Tran Duc Luong telah berkhidmat dalam tempoh penting dalam sejarah Vietnam dan memainkan peranan yang berterusan dalam menegakkan semangat pembaharuan Doi Moi dengan penuh keteguhan.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya Presiden, beliau menjadi tonggak kestabilan yang membimbing negara melalui era perubahan, memastikan kemajuan disertai dengan kestabilan serta halatuju yang jelas.
"Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga beliau dan seluruh rakyat Vietnam," menurut Datuk Seri Anwar dalam hantaran tersebut.
Tran Duc Luong, dilaporkan meninggal dunia pada malam Selasa di kediaman peribadinya di Hanoi.
Beliau berusia 88 tahun ketika menghembuskan nafas terakhir.