fb fb fb fb fb

PM ucap tahniah pelajar lanjutkan pengajian ke Harvard College

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 6 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan rasa bangga ke atas kejayaan enam pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke Harvard College, Amerika Syarikat.

Selain mengucapkan tahniah kepada pelajar peringkat ijazah Sarjana Muda Universiti Harvard itu, beliau turut mendoakan agar mereka beroleh kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

“Anda adalah kebanggaan Keluarga Malaysia,” katanya dalam catatan melalui akaun Facebook beliau, hari ini.

Keenam-enam pelajar berkenaan ialah Chooi Je Qin dari Johor; Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang; Carisma Michaela Wong dari Sabah; Lee Ee Jenn dari Kuala Lumpur dan Alyssa Yap Xin Yi dari Sarawak.


(Enam pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian ke Harvard College, Amerika Syarikat/FB Ismail Sabri Yaakob)

Kesemua pelajar berkenaan akan menamatkan pengajian di Harvard pada tahun 2026.

Seorang daripada penemuduga Alumni Harvard College untuk Malaysia, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob dalam satu kenyataan berkata bilangan pelajar Malaysia yang diterima menuntut di institusi pengajian itu kali ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah negara.

Menurutnya, mereka dipilih daripada 61,220 pemohon dengan kadar pengambilan pelajar bagi kelas 2026 adalah yang terendah dalam sejarah Harvard iaitu 3.19%.

Media Baharu